KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025, disokong oleh permintaan dalam negeri yang stabil serta perbelanjaan isi rumah yang mampan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, berkata pertumbuhan ini turut dipacu oleh pasaran buruh yang positif, pelaksanaan projek pelaburan baharu, serta langkah dasar seperti peningkatan gaji minimum dan penjawat awam.
“Eksport lebih perlahan berikutan penurunan eksport perlombongan, namun diimbangi oleh prestasi eksport elektrik dan elektronik (E&E) serta pelancongan yang terus meningkat,” katanya dalam sidang media prestasi ekonomi suku pertama hari ini.
Import pula kekal kukuh, didorong permintaan barangan modal selaras dengan aktiviti pelaburan dan perdagangan yang berterusan.
Dari segi penawaran, pertumbuhan disokong oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan, dengan sektor perkhidmatan dipacu oleh perbelanjaan kerajaan manakala E&E menyokong sektor perkilangan.
Namun, penurunan semula jualan dan pengeluaran kenderaan bermotor selepas pertumbuhan kukuh tiga tahun lalu menjejaskan kedua-dua sektor ini.
Sektor perlombongan turut menyusut akibat pengeluaran minyak dan gas yang lebih rendah.
Pertumbuhan suku tahunan terlaras secara bermusim pula mencatatkan 0.7 peratus.
Inflasi keseluruhan menurun kepada 1.5 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan inflasi utiliti dan luputnya kesan pelarasan tarif air dan caj elektrik dari tahun lalu.
Inflasi komunikasi mudah alih terus merosot, dengan purata -13.5 peratus, namun inflasi teras meningkat sedikit kepada 1.9 peratus akibat kenaikan inflasi sewa kepada 2.1 peratus.
Menurut Abdul Rasheed, kenaikan harga bulanan turut dicatatkan dalam komponen Indeks Harga Pengguna (IHP), sejajar dengan pelarasan harga lazim pada awal tahun.
Turut hadir dalam sidang media ialah Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.