KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia 22 bulan mengalami sawan selepas didakwa terpaksa menunggu hampir 11 jam tanpa rawatan sewajarnya di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka, Sabtu lalu.
Insiden menyayat hati itu menjadi tular di media sosial selepas ibu mangsa, Siti Aishah Rahim, 27, memuat naik video berdurasi 13 minit yang memaparkan keadaan anak sulungnya, Siti Farha Adelia Mohd Firdaus, menangis dan merintih kesakitan akibat demam panas yang tidak dirawat.
Menurut Siti Aishah, mereka tiba di hospital kira-kira jam 2.30 petang selepas mendapati suhu badan anaknya meningkat secara mendadak.
“Jururawat hanya ambil darah dan biarkan sahaja anak saya tanpa tindakan lanjut, sedangkan suhu badannya terus naik ke paras 40 darjah Celsius,” katanya dalam hantaran Facebook yang turut memuat naik video kejadian.
Beliau mendakwa telah beberapa kali merayu kepada petugas agar anaknya diberi perhatian, namun hanya disuruh menunggu sehingga anaknya akhirnya diserang sawan sekitar jam 1 pagi keesokan harinya.
“Badan dia menggigil, mata terbeliak. Hati saya hancur melihat keadaan anak sendiri tetapi tiada siapa peduli. Saya tanya jururawat sama ada wad penuh, tetapi saya hanya diberitahu ‘tunggu saja sampai misi wad datang panggil’,” katanya dalam nada kecewa.
Keadaan Siti Farha kemudian dilaporkan semakin serius sehingga terpaksa dipindahkan dari Zon Hijau ke Zon Kuning.
Dalam kemas kini terbaru, Aishah memaklumkan bahawa anaknya kini disahkan dijangkiti Adenovirus, sejenis virus yang menyerang sistem pernafasan, mata, dan saluran pencernaan.
Bayinya masih belum stabil sepenuhnya dan telah dimasukkan cecair antibiotik.
“Dia hanya mampu aktif sekejap-sekejap sebelum kembali lemah. Pihak pengurusan tertinggi hospital telah datang melawat dan memohon maaf serta berjanji akan menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi pemberita pagi ini.