KUALA LUMPUR: Polis kini memperluaskan siasatan terhadap kes tragis penemuan mayat seorang bayi lelaki yang dibuang ke Sungai Klang dengan menumpukan pencarian kepada hospital dan klinik swasta sekitar ibu negara.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata pihaknya akan meneliti rekod wanita yang baru melahirkan anak dalam tempoh terdekat sebagai usaha mengesan suspek yang bertanggungjawab.
“Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat. Kita akan menyemak rekod di hospital dan klinik swasta, bergantung kepada hasil bedah siasat hari ini,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Insiden menyayat hati itu terbongkar apabila orang awam menghubungi talian kecemasan MERS 999 selepas menemui objek menyerupai mayat bayi terapung di sungai berhampiran sebuah restoran di Jalan Klang Lama sekitar 2.05 petang, Jumaat.
Pemeriksaan lanjut mendapati mayat berkenaan adalah bayi lelaki masih bertali pusat, dipercayai baru dilahirkan sebelum dibuang secara kejam.
Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Polis turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan agar pelaku kejam ini dapat dibawa ke muka pengadilan.