“Saya Cuma Mahu Bermain Bola” – Faisal Luah Kecewa Selepas Kes Simbah Asid Diklasifikasi NFA

KUALA LUMPUR: “Saya sebagai mangsa… mestilah kecewa.”

Kata-kata ini dilontar penuh emosi oleh pemain sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim, selepas mengetahui kes serangan asid terhadapnya tahun lalu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Faisal tampil bersuara buat pertama kali mengenai keputusan siasatan tersebut ketika menghadiri Kejohanan Terbuka Piala Faisal Halim U12 di Mengkuang Titi, hari ini.

“Tapi apa yang saya boleh katakan, benda pun sudah berlaku, benda pun dah jadi. Saya berharap sangat, berilah saya kembali dalam kancah bola sepak,” ujar pemain Selangor FC itu yang jelas masih menanggung trauma insiden berkenaan.

Mengimbas detik hitam itu, Faisal berkata apa yang berlaku bukan hanya merosakkan kerjayanya, tetapi turut memberi kesan besar kepada keluarganya.

“Saya ada keluarga untuk ditanggung. Saya kejar impian sebagai pemain bola bukan untuk kesenangan, tapi untuk kejayaan,” katanya, menahan sebak.

Tambahnya lagi, beliau masih tidak tahu punca sebenar serangan tersebut, malah menyeru sesiapa yang mempunyai masalah dengannya tampil bersemuka, bukannya memilih jalan ganas.

“Kalau ada yang tak kena dengan saya, beritahulah. Jangan aniaya saya macam ini. Saya rasa saya tak ada salah silap dengan sesiapa.”

Walaupun kecewa dengan keputusan siasatan, Faisal enggan terus dibelenggu masa lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu kini mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada bola sepak dan membina semula kariernya.

“Saya tak nak fikir lagi pasal kes ke, pasal NFA ke… itu semua tanggungjawab pihak polis. Saya cuma nak fokus kerja saya,” katanya sambil menyatakan kesyukuran kerana diberi peluang kembali beraksi bersama Selangor FC dan Harimau Malaya.

Pada Mei tahun lalu, Faisal menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Serangan itu mengakibatkan melecur tahap empat, memaksanya menjalani beberapa siri pembedahan yang panjang.

Hanya tiga bulan selepas insiden itu, Faisal kembali ke padang dan menyarung jersi Gergasi Merah.

Malah, beliau turut dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac lalu.

BBerkaitan

Latest articles