Zahid: Hamzah Sedar Diperdaya Rakan Kongsi Sendiri

KUALA LUMPUR: Kenyataan terbuka Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung kesediaan untuk bekerjasama dengan Umno mungkin mencerminkan keresahan dalaman parti itu terhadap rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN), kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap kepada media selepas satu majlis rasmi di ibu negara, Zahid menyifatkan kenyataan Hamzah sebagai isyarat bahawa Bersatu kini sedang menilai semula masa depan politiknya berikutan rasa tidak puas hati terhadap gabungan yang disertainya.

“Saya kira beliau sedang mencari realiti baharu selepas menyedari rakan sekutunya bermain kayu tiga. Apa yang pernah berlaku pada Umno sebelum PRU15, kini sedang berulang terhadap Bersatu,” katanya, tanpa menamakan secara langsung pihak yang dimaksudkan.

Kenyataan Zahid hadir selepas beberapa siri ucapan Hamzah yang memberi bayangan ke arah penyatuan semula antara dua bekas sekutu itu.

Dalam satu podcast bersama bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim, Hamzah mengakui bahawa Bersatu dan Umno berkongsi ideologi yang sama dan membuka ruang kemungkinan bekerjasama.

Nada sama turut dibawa ke medan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning baru-baru ini, yang menyaksikan Umno mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti yang lebih besar.

Namun, Zahid menegaskan pendirian Umno kekal iaitu parti itu tidak berminat bekerjasama dengan PN, baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

BBerkaitan

Latest articles