Faisal Kecewa Kes Simbah Asid Diklasifikasi NFA, Peguam Tuntut Keadilan

KUALA LUMPUR: Penyerang sensasi Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim, meluahkan rasa kecewa apabila kes serangan asid ke atas dirinya pada Mei tahun lalu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (No Further Action – NFA) oleh pihak berkuasa.

Menurut peguamnya, Nik Zarith Nik Moustapha, surat pemakluman daripada Jabatan Peguam Negara bertarikh 18 Februari menyatakan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menemui sebarang petunjuk kukuh untuk mengaitkan mana-mana individu sebagai suspek dalam kes tersebut.

“Surat tersebut turut menjelaskan bahawa segala usaha yang dijalankan pihak polis tidak membuahkan hasil. Anak guam kami jelas kecewa dengan keputusan ini,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah seorang lagi peguam Faisal, Mohd Haijan Omar.

Faisal sebelum ini mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian badan selepas disimbah asid dalam satu serangan kejam di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya pada 5 Mei tahun lalu.

Insiden itu mengejutkan dunia bola sepak tempatan dan mencetuskan gelombang solidariti terhadap pemain berusia 26 tahun itu.

Nik Zarith memaklumkan pihaknya telah menghantar surat rayuan kepada Peguam Negara pada 15 April lalu bagi menggesa agar siasatan dibuka semula.

“Peguam Negara mempunyai kuasa mutlak untuk membuka semula kes sekiranya terdapat perkembangan baharu. Langkah ini penting untuk memastikan Faisal mendapat keadilan sebagai mangsa,” katanya.

Sepanjang proses siasatan, katanya, pihak mereka telah memberi kerjasama penuh kepada PDRM termasuk menghantar beberapa surat kepada agensi dan institusi berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara serta Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Negara bagi memastikan kes ini mendapat perhatian sewajarnya.

BBerkaitan

Latest articles