KUALA LUMPUR: Seorang warga emas mencuri perhatian umum apabila sempat menunjukkan isyarat ‘peace’ dan tersenyum tenang ketika diiring polis memasuki Mahkamah Sesyen Bukit Mertajam hari ini, untuk menghadapi pertuduhan membunuh rakannya bulan lalu.
Tertuduh, Yee Fat Seong, 70, didakwa atas tuduhan membunuh seorang lelaki berusia 63 tahun, Loo Ah Teong, dalam kejadian di sebuah pondok rehat di Jalan Kolam, Cherok Tok Kun, pada 27 April lalu.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Yee didakwa membunuh Loo antara jam 2 hingga 3.22 petang dan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta sebat tidak kurang daripada 12 kali jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.
Mahkamah turut menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan tertuduh yang berlarutan selama tiga hari sebelum tercetusnya tragedi.
Pada hari kejadian, suspek dikatakan datang dari arah belakang dan memukul mangsa dengan sebatang kayu hingga mangsa rebah dan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris sebelum ini mengesahkan suspek merupakan salah seorang daripada enam individu yang berada di lokasi kejadian ketika insiden berlaku.
Dalam pada itu polis menasihatkan oang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini bagi mengelakkan gangguan terhadap proses perundangan yang sedang berjalan.