Kemenangan BN di Ayer Kuning Serlah Kejayaan Usaha Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam membuktikan bahawa usaha berterusan Kerajaan Perpaduan, khususnya di Perak, berjaya menambat hati pengundi setempat.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil berkata, peningkatan jumlah undi yang diraih calon parti kerajaan merupakan petanda positif terhadap penerimaan rakyat.

“Namun kita tidak harus leka, banyak lagi yang perlu diusahakan untuk memastikan kemenangan ini dapat diperkukuh. Kita lihat pendekatan kempen sihat menjadi faktor utama kenapa pengundi Ayer Kuning memilih Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi dan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, turut menyifatkan kaedah berkempen pihak lawan, Perikatan Nasional (PN), tidak menepati citarasa dan kehendak masyarakat setempat.

“Mereka memilih untuk membangkitkan topik-topik yang tidak selari dengan keperluan penduduk tempatan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, kemenangan ini membuktikan pendekatan dan prinsip Madani yang dibawa Kerajaan Perpaduan harus diteruskan. Pada masa sama, katanya, perhatian juga perlu diberikan kepada gabungan parti-parti di Sabah yang menantikan hala tuju jelas daripada pimpinan utama kerajaan.

Pada PRK semalam, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 undi. Beliau memperoleh 11,065 undi, mengatasi calon PN, Abd Muhaimin Malek (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS (1,106 undi).

Kemenangan ini turut mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan di Perak yang kini memegang 32 kerusi berbanding 26 kerusi dikuasai PN.

BBerkaitan

Latest articles