Jangan Ulang Lagi Insiden Seperti Tampar Lelaki Bukan Islam – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang tindakan seperti menampar individu bukan Islam kerana makan pada bulan Ramadan harus dihentikan segera kerana ia bertentangan dengan semangat perpaduan dan keharmonian negara.

Menurut Anwar, umat Islam perlu membina kekuatan dalaman dan mengelakkan sikap bengis yang boleh mengancam keamanan serta keharmonian masyarakat.

“Tidak ada maknanya umat Islam berbicara tentang Islam dan keindahannya, terutama pada bulan Ramadan, jika ia tidak disertai dengan sikap yang berhemah dan menghormati keamanan,” katanya dalam kenyataan yang disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa isu sensitif berkaitan agama dan kaum boleh dielakkan jika semua pihak berpegang kepada prinsip hormat-menghormati bagi membina sebuah negara yang bertamadun.

Kenyataan Perdana Menteri ini menyusul selepas tular di media sosial sebuah video yang menunjukkan seorang pemuda bukan Islam ditampar oleh seorang warga emas kerana makan secara terbuka di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru ketika bulan Ramadan.

Warga emas terbabit, Abdul Razak Ismail, 65, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, telah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret A. Shaarmini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, memaklumkan bahawa kertas siasatan kes tersebut perlu dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

Abdul Razak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap pemuda berusia 21 tahun di sebuah kedai serbaneka dalam pusat beli-belah itu sekitar jam 3.45 petang pada 16 Mac lalu.

Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles