Mahkamah Lepas Tanpa Bebaskan Warga Emas Tampar Pemuda Yang Didakwa Tak Puasa

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas yang didakwa menampar seorang pemuda kerana tidak berpuasa pada Ahad lalu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret A Shaarmini selepas pihak pendakwaan, yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam, menerima arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes tersebut kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

Keputusan itu mengejutkan anak tertuduh yang hadir di galeri mahkamah.

Terdahulu, kes berkenaan sempat melalui prosiding apabila Orang Kena Saman (OKS), Abdul Razak Ismail, 65, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan majistret.

Beliau didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda berusia 21 tahun di sebuah kedai serbaneka dalam pusat beli-belah pada jam 3.45 petang, Ahad lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Abdul Razak didakwa menampar pipi kanan mangsa, menyebabkan lebam yang disahkan oleh pegawai kesihatan.

Bagaimanapun, OKS membantah sebahagian fakta yang dibacakan di mahkamah.

“Masa tak betul. Saya tampar tapi tak sampai lebam,” katanya.

Susulan itu, majistret bertanya sama ada beliau ingin dibicarakan, tetapi Abdul Razak tetap mengaku bersalah walaupun tidak bersetuju dengan fakta kes yang dibacakan.

Majistret kemudian menolak pengakuan bersalah tersebut kerana ia dibuat dengan bersyarat.

“Pengakuan bersalah harus dibuat tanpa bersyarat. Oleh itu, saya terpaksa menolaknya,” kata majistret.

Ketika pihak pendakwaan sedang berhujah mengenai jaminan, Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan bahawa mereka baru menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk mengklasifikasikan kes itu sebagai DNAA.

Majistret bertanya sama ada kes akan dituduh semula, dan pihak pendakwaan menjelaskan bahawa AGC akan meneliti semula kertas siasatan sebelum membuat keputusan lanjut.

Pada Ahad lalu, tular sebuah video yang menunjukkan seorang lelaki ditegur oleh seorang warga emas kerana makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah.

Berlaku ketegangan apabila warga emas itu meminta lelaki berkenaan menunjukkan kad pengenalannya bagi membuktikan sama ada dia beragama Islam atau tidak.

Lelaki itu enggan berbuat demikian dan mendakwa dirinya telah dimarahi sebelum ditampar beberapa kali oleh warga emas tersebut.

BBerkaitan

Latest articles