KUALA LUMPUR: Bersempena dengan Nuzul Quran, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengajak umat Islam menjadikan al-Quran yang juga kalam Allah SWT sebagai panduan utama dalam kehidupan.
Baginda bertitah, al-Quran mengandungi enam aspek penting, iaitu akidah, akhlak, bimbingan mentadabbur ciptaan Allah SWT, kisah umat terdahulu, peringatan dan ancaman, serta hukum-hukum amali.
“Setiap aspek ini membentuk sistem lengkap yang membimbing manusia ke arah kebenaran dan kebahagiaan hakiki. Oleh itu, masyarakat awam disarankan merujuk kepada ulama bagi memahami dan mengamalkan hukum-hakam dengan tepat,” titah baginda dalam perutusan sempena Nuzul Al-Quran 1446 Hijrah.
Peringatan itu dibuat dengan merujuk kepada kandungan khutbah Jumaat lalu bertajuk “Al-Quran Kitab Petunjuk Penuh Mukjizat”, yang turut mengangkat firman Allah dalam Surah al-Hasyr, ayat 21:
“Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.”
Baginda menegaskan betapa besarnya pengaruh al-Quran, yang mampu menggetarkan hingga terbelah gunung-ganang. Namun, baginda meluahkan kebimbangan kerana masih ada manusia yang tidak tersentuh dengan ayat-ayat al-Quran akibat kelalaian, kekerasan hati, dan keengganan untuk mengambil pengajaran.
“Al-Quran adalah mukjizat ilmiah yang kekal terpelihara, satu keistimewaan yang tidak diberikan kepada kitab-kitab lain hingga hari kiamat. Maka, mengapa masih ada di kalangan kita yang meragui mukjizat al-Quran?” titah baginda.