KUALA LUMPUR: Syarikat Atlis Holidays Sdn. Bhd. (Atlis Holidays) telah menghentikan serta-merta tugas seorang mutawif lelaki yang terlibat dalam insiden menampar seorang pelajar sehingga patah hidung dalam kejadian di Saujana Impian, Kajang, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Atlis Holidays menjelaskan bahawa lelaki berkenaan hanya bertugas secara separuh masa (freelance) dan bukan kakitangan tetap syarikat.
Selain itu, syarikat menafikan pernah melantik individu tersebut sebagai penasihat syariah, seperti yang didakwa dalam profil media sosial miliknya.
“Pihak kami telah membuat laporan polis untuk melindungi perniagaan kami, selain tindakan pelaku yang memaparkan maklumat mengelirukan di profil Facebooknya,” kata syarikat itu dalam kenyataan rasmi.
Atlis Holidays turut menegaskan bahawa syarikat tidak bertanggungjawab terhadap tindakan peribadi individu terbabit dan akhlaknya tidak mencerminkan nilai serta prinsip syarikat secara keseluruhan.
Dalam masa yang sama, syarikat berharap penjelasan ini dapat memperjelas kedudukannya dalam isu berkenaan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes tersebut dengan adil.
“Kami juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat hantaran atau komen berbaur ancaman, ugutan, atau fitnah yang boleh menjejaskan reputasi syarikat,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, polis menahan reman seorang lelaki berusia 39 tahun selepas didakwa menampar seorang pelajar sekolah menengah sehingga menyebabkan kecederaan serius.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya telah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan.