KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak penerbitan drama bersiri Bidaah mengadakan pertemuan pad semalam, susulan kontroversi beberapa adegan yang didakwa tidak bersesuaian.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, dalam satu kenyataan berkata pihak penerbitan drama itu akur dengan teguran JAKIM dan bersedia untuk memotong mana-mana adegan yang dianggap tidak sesuai untuk tontonan umum.
Terdahulu pertemuan diadakan di antara produksi drama berkenaan bersama Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam bagi menilai kandungan siri tersebut.
“Perbincangan ini bertujuan meneliti klip video episod yang mencetuskan kontroversi serta kandungan episod yang masih belum ditayangkan untuk menilai implikasinya terhadap masyarakat,” katanya.
Menurut Sirajuddin, JAKIM menegaskan bahawa setiap karya seni yang diterbitkan harus selari dengan prinsip akidah, syariah, dan akhlak Islam serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam.
Beliau turut menekankan bahawa pihak industri penyiaran perlu merujuk kepada Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang telah dikeluarkan pada tahun 2015 bagi memastikan kandungan yang disiarkan mematuhi syariat Islam.
“Islam tidak menolak kesenian, malah mengiktirafnya sebagai salah satu cara untuk mengekspresikan keindahan dan sebagai medium dakwah kepada masyarakat. Namun, seni dalam Islam perlu mematuhi garis panduan syariah, membawa kepada kebaikan, serta tidak melalaikan atau mempromosikan unsur bertentangan dengan nilai dan etika Islam,” jelasnya.
Terdahulu, drama Bidaah mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial apabila satu adegan melibatkan pelakon Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul menyentuh janggut Faizal Hussein menggunakan kaki menjadi tular.
Drama Bidaah mula ditayangkan di platform penstriman Viu Malaysia pada 6 Mac lalu dan diarahkan oleh Pali Yahya serta diterbitkan oleh Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.
Siri ini mengisahkan tentang seorang pengamal ajaran sesat bernama Walid yang menyebarkan fahaman menyeleweng di sebuah perkampungan.
Watak Walid digambarkan sebagai individu yang mengaku dirinya jelmaan Imam Mahdi dan berusaha mempengaruhi para pengikutnya.