Jadi Pemimpin Kena Muhasabah Diri, Elak Menyeleweng

KUALA LUMPUR: Adalah penting untuk setiap pemimpin menghayati semangat Ramadan dengan bermuhasabah diri dan tidak menyalahgunakan kuasa, termasuk mencuri wang kerajaan, demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menjelaskan lebih lanjut, Anwar mengingatkan bahawa jawatan dan kedudukan tidak seharusnya menjadi alasan untuk melakukan penyelewengan yang boleh merosakkan negara.

“Saya tak ambil gaji sebab apa? Saya nak tunjukkan bahawa bukan semua menteri curi duit… Gaji itu hak, kalau orang ambil gaji itu haknya. Tetapi jangan curi, jangan simpan di rumah-rumah lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Alaudin, Selinsing, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Tanpa merujuk kepada mana-mana individu, Anwar menolak dakwaan bahawa tindakannya berpunca daripada dendam atau kemarahan.

“Saya sudah menjadi Perdana Menteri, hendak bergaduh apa lagi? Tanggungjawab saya ialah menjaga duit rakyat supaya ia kembali kepada rakyat,” tegasnya.

Di majlis yang sama, Anwar turut mengumumkan inisiatif baharu dengan menyatakan kerajaan mampu menyalurkan RM100,000 kepada setiap kampung menerusi geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), selagi tidak berlaku ketirisan dalam pengurusan kewangan negara.

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga sebagai madrasah yang membentuk nilai disiplin serta integriti dalam diri setiap individu.

“Berpuasa mengajar kita untuk tidak menipu, kerana walaupun manusia tidak tahu, Allah SWT tetap mengetahuinya. Ramadan harus menjadi medan untuk memperkukuh keyakinan, keperibadian, dan nilai integriti dalam diri kita,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles