KUALA LUMPUR: Seorang penghantar makanan hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menampar pipi anak lelakinya yang berusia empat tahun dan mencederakan ibu jari tangan kiri kanak-kanak itu menggunakan pisau, dua hari lalu.
Bagaimanapun lelaki yang berusia 30 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Terdahulu lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit pangsapuri di Jalan Jelatek, Keramat pada 7.20 malam 12 Mac 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Zaberi menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan rendah atas alasan dia hanya bekerja sebagai penghantar makanan dan perlu menjaga keluarganya.
Hakim Izralizam membenarkan lelaki itu diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.