Ismail Sabri Jamin Beri Kerjasama Kepada SPRM

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga siasatan ke atasnya selesai.

Dalam satu kenyataan ringkas, Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau telah hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberikan keterangan berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

“Saya akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai,” katanya tanpa memberi perincian kes yang dikaitkan dengannya.

Terdahulu, Ismail Sabri dilaporkan tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sekitar jam 9.45 pagi bagi memberi keterangan. Beliau sepatutnya hadir pada 5 Mac lalu, namun sesi tersebut ditangguhkan selepas beliau mengemukakan sijil sakit.

Bekas Naib Presiden UMNO itu meninggalkan premis SPRM sekitar jam 3.15 petang dan dijangka kembali esok bagi meneruskan proses siasatan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa siasatan terhadap Ismail Sabri melibatkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Sebelum ini empat pegawai kanan yang pernah berkhidmat di bawah Ismail Sabri turut ditahan bagi membantu siasatan.

SPRM merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta serta 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit dalam serbuan ke atas kediaman empat pegawai terbabit dan tiga premis lain yang dipercayai berfungsi sebagai ‘safe house’.

BBerkaitan

Latest articles