Mahkamah Tribunal Batal Keputusan COB Berkaitan Pertikaian Icon Resident

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata telah membatalkan keputusan Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur (COB) yang sebelum ini meletakkan tanggungjawab kepada Perbadanan Pengurusan Icon Residence (JMB) Mont Kiara untuk mengurus dan menyelenggara bangunan itu secara sementara.

Sehubungan itu, Presiden Tribunal, Hakim Zainal Azlan Abdul Kadir, mengarahkan pihak COB ( Selaku Penentang di dalam kes ini ) mengeluarkan surat rasmi serta-merta kepada Pemaju Perumahan, Maxim Heights Sdn Bhd, dan pihak Perbadanan Pengurusan (MC) ( selaku Pihak YAng Menuntut) bagi mengesahkan bahawa keputusan sebelum ini yang dinyatakan dalam surat-surat bertarikh 27 Februari 2024 dan 19 April 2024, dalam tempoh tujuh (7) hari, adalah terbatal.

Tribunal Pengurusan Strata turut menolak kesemua tuntutan balas yang dibuat oleh COB di dalam kes yang berlangsung hari ini.

COB Menafikan Hak MC, Tribunal Ambil Tindakan

Tindakan COB sebelum ini yang meletakkan tanggungjawab kepada JMB telah menafikan hak Perbadanan Pengurusan (MC) untuk mengambil alih pengurusan Icon Residence, meskipun tribunal telah membuat keputusan pada 5 April 2024.

COB juga bertindak menangguhkan keputusan tersebut dengan alasan tidak mahu mengganggu proses mahkamah, setelah JMB membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu.

Namun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan JMB untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tribunal. Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk S. Amarjeet Singh, yang turut mengarahkan JMB membayar kos sebanyak RM5,000.

Pihak JMB kemudiannya membawa semula kes ini ke Tribunal untuk mencabar keabsahan MC, sementara pihak COB masih belum mengeluarkan sebarang surat rasmi bagi memperakui kedudukan MC.

Kegagalan JMB dan Skandal Pengurusan

Keputusan terbaru  Tribunal ini juga telah memberi tamparan hebat kepada pasukan JMB Icon Residen.  Keputusan ini memberi kesan besar terhadap usaha mereka untuk melambat-lambatkan peralihan pengurusan kepada MC.

Selain itu, JMB sebelum ini dikaitkan dengan beberapa isu berkaitan salah laku pengurusan, termasuk penganugerahan tender di Icon Residence secara meragukan. Kes ini mendapat liputan media selepas wakil penduduk membuat laporan polis berhubung isu tersebut.

Malah JMB Icon Residence, Mont Kiara, Seow Choo Kiong juga turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah, atas dua pertuduhan menceroboh Icon Residence, Mont Kiara dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas pada 6 Februari lalu.

Beliau bagaimanapun mengakut tidak bersalah di atas kes berkenaan, dan perbicaraan kes itu sedang berjalan di hadapan hakim Farah Nabihah Muhamad dan Amira Abd Aziz.

COB Gagal Beri Hujah Kukuh di Tribunal

Pada prosiding Mahkamah Tribunal Januari lalu, wakil COB telah diperintah untuk mengemukakan hujah perundangan bagi mempertahankan tindakan mereka yang tidak memperakui keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2024.

Hakim Zainal Azlan Abdul Kadir memerintahkan wakil COB, M. Palaniappan, untuk mengemukakan hujah dalam tempoh dua minggu, iaitu selewat-lewatnya pada 20 Januari 2025, sebelum tribunal membuat keputusan muktamad.

Beliau berulang kali meminta Palaniappan memberikan hujah perundangan yang menyokong keputusan COB yang mengekalkan JMB, meskipun perkara itu telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, Palaniappan gagal memberikan hujah yang jelas, dengan alasan bahawa COB tidak mahu menerima sebarang implikasi undang-undang memandangkan JMB telah membawa kes ini ke mahkamah.

Akhirnya, Palaniappan gagal mempertahankan tindakan COB, menyebabkan hakim mengarahkannya untuk mengemukakan hujah perundangan bertulis sebelum tarikh yang ditetapkan.

Dengan keputusan ini, Mahkamah Tribunal bukan sahaja membatalkan arahan COB, malah menolak sepenuhnya kesemua tuntutan pihak penentang, sekali gus mengesahkan MC sebagai badan pengurusan sah bagi Icon Residence Mont Kiara.

 

BBerkaitan

Latest articles