Don't miss out!

Sing up for our newsletter to stay in the loop.

Makcik Mencuri Di Majlis Kahwin Sudah Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita yang menyamar sebagai tetamu dan mencuri wang RM2,500 pada majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan, Kelantan pada 1 Februari lalu, seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek ditahan pada pukul 2.35 petang semalam oleh anggota polis di hadapan sebuah masjid di Kota Bharu.

Penangkapan dilakukan selepas anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah terserempak dengan sebuah teksi jenis Nissan Sentra dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan sepasukan.

“Anggota bertugas terus mengekori kereta tersebut dan menahan suspek bersama seorang lagi rakannya yang merupakan pemandu teksi di hadapan sebuah masjid.

“Anggota bertugas telah melakukan pemeriksaan ke atas tubuh badan kedua-dua suspek dan tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Kama Azural, siasatan awal mendapati suspek mengaku telah mencuri wang berjumlah RM2,500 semasa majlis perkahwinan tersebut.

Jelasnya, semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau.

“Seorang lagi rakan suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 62 tahun mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua mereka akan dibawa ke Mahkamah Pasir Mas pagi ini, untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

BBerkaitan

Latest articles