Hakim Memutuskan Tuduhan Terhadap Ibu Bapa Zayn Rayyan Tidak Cacat

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Petaling Jaya memutuskan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin yang dihadapi oleh kedua-dua ibu bapanya tidak cacat.

Hakim Syahliza Warnoh memutuskan pertuduhan dihadapi Zaim Ikhawan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf tidak cacat dan dirangka mengikut undang-undang.

Syahliza Warnoh juga berpendapat, pertuduhan terhadap pasangan suami isteri itu tidak menafikan peluang mereka untuk menyediakan pembelaan pada perbicaraan kelak.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan prosiding bermula petang ini dengan mendengar keterangan saksi pendakwaan pertama selepas menolak bantahan awal pihak pembelaan.

Pada 13 Jun lalu, pasangan itu yang berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikannya Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di PJU Damansara Damai antara tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang boleh didenda maksimum RM50,000, penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam, Haresh Mahadevan mengemukakan bantahan awal terhadap pertuduhan atas alasan ia cacat dan tidak dibuat berlandaskan undang-undang.

Beliau berhujah, pertuduhan terhadap pasangan itu tidak memperincikan intipati kesalahan iaitu cara pengabaian dilakukan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz berhujah, pertuduhan itu tidak cacat kerana ia tidak memerlukan butiran terperinci dinyatakan.

Hujah beliau, pertuduhan itu akan dibuktikan melalui keterangan saksi-saksi pendakwaan di mahkamah.

 

BBerkaitan

Latest articles