KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah Parlimen adalah dewan perhimpunan paling utama yang menjadi gelanggang pertemuan suara rakyat dan tempat untuk membahasakan agenda kemakmuran negara.
Sultan Ibrahim bertitah, Ahli Parlimen perlu menghentikan tindakan bermain politik atas setiap isu.
“Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah, tetapi adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
“Justeru, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri saja,” titah baginda ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa sama, Sultan Ibrahim memuji sikap Ahli Parlimen yang dilihat sudah banyak berubah dan lebih sopan dalam menyampaikan perbahasan pada persidangan Parlimen tahun lalu.
Namun, baginda bertitah, masih ada segelintir daripada mereka yang sukar membuang sikap lama.
“Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk itu kerana saya percaya setiap Ahli Parlimen sedar dan tahu bagaimana untuk menjaga tingkah laku masing-masing.
“Saya juga menghargai peranan yang dimainkan semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ia menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara,” titah baginda.
Mengikut takwim di laman web rasmi Parlimen, selain pembentangan usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung 18 hari, turut menyaksikan Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai 4 Feb.