KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan kerana mencederakan isterinya selepas berlaku perselisihan faham di antara kedua-duanya.
Pergaduhan pasangan itu berpunca daripada dakwaan si suami kononnya isterinya yang juga seorang guru tadika mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Kejadian berlaku di rumah pasangan itu di Jalan Ampang Mewah, Ampang Jaya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa berusia 38 tahun membuat laporan polis pada jam 10.30 malam Ahad lalu.
“Berlaku perselisihan faham dengan suaminya berusia 45 tahun yang ketika itu berada dalam keadaan mabuk serta menuduh mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
“Suspek yang bekerja sebagai mekanik kemudian bertindak memukul mangsa di bahagian belakang badan dan menendangnya.
“Semasa kejadian, suspek juga ada mengacukan pisau ke arah isterinya dan perkara ini telah disaksikan oleh anak mereka,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Azam, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati pengadu mengalami kecederaann tisu di bahagian leher.
“Berikutan itu, suspek telah ditahan sekitar jam 10.20 malam semalam di Jalan Ampang Mewah dan saringan ujian air kencing didapati negatif daripada penyalahgunaan dadah serta tiada rekod lampau.
“Kini suspek direman tiga hari bermula hari ini hingga 17 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” jelasnya.