KUALA LUMPUR: Mayat yang ditemui dalam keadaan reput di Banting, Selangor pada Sabtu lalu dipercayai mangsa dalam siasatan kes orang hilang yang dilaporkan pada 22 Disember lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata mayat wanita itu ditemukan dalam keadaan tidak sempurna termasuk bahagian muka sehingga sukar untuk dikenal pasti.
Beliau berkata badannya dijumpai tersangkut di perangkap sampah sungai Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang, Banting.
“Mayat yang dijumpai di RTB Sungai Changgang telah reput (decompose) dan tidak dikenal pasti melalui pengecaman fizikal dan post mortem telah dijalankan di Hospital Banting.
“Ekoran penemuan ini, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah reklasifikasi siasatan KEP OH kepada kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh),” katanya dalam kenyataan, hari ini, memertik BH.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Yap Xin Yuan dilaporkan hilang selepas berlatih tarian singa di sebuah gelanggang bola keranjang di Batu 11 Cheras dekat sini, pada 19 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, dilaporkan berkata keluarga yang menyedari mangsa tidak pulang ke rumah, membuat satu laporan polis pada jam 2.15 pagi, keesokannya.
Dalam pada itu, Hussein berkata buat masa ini seramai tiga orang suspek berusia 16, 20 dan 51 tahun sudah ditangkap termasuk teman lelaki mangsa bagi membantu siasatan.
“Bagaimanapun, pihak polis masih menunggu keputusan analisa asid deoksiribonukleik (DNA) untuk pengesahan identiti mangsa tersebut,” katanya.