Polis Siasat Tujuh Laporan Berkaitan Dakwaan Hannah Cuba Ubah Malaysia Jadi Negara Kristian

KUALA LUMPUR: Tujuh laporan polis telah diterima yang dibuat terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang didakwa terlibat dengan usaha memurtadkan umat Islam dan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Kristian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman memaklumkan pihaknya kini sedang menyiasat dakwaan berkenaan.

“Saya sahkan setakat ini Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima tujuh laporan polis berkaitan isu membabitkan YB Hannah Yeoh.

“Perkara ini dalam tindakan dan siasatan pihak polis,” katanya menjawab pertanyaan media menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.

Isnin lalu, Hannah tewas dalam saman fitnah yang difailkan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung kenyataan pada satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), empat tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan itu mendakwa Musa, yang memberi ucapan pada forum ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’ yang diadakan pada Julai 2020, mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai diri beliau dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.

Kononnya Musa menuduh Hannah menulis buku bertajuk Becoming Hannah: A Personal Journey untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.

Kelmarin, Ahli Parlimen Segambut itu dilaporkan telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

Susulan itu, pelbagai pihak dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat laporan polis terhadap Hannah.

Antaranya menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Hannah Yeoh berjudul Becoming Hannah: A Personal Journey yang disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.

BBerkaitan

Latest articles