5 Remaja Perempuan Didakwa Rabu Ini Berhubung Kes Buli Zara Qairina

KOTA KINABALU: Lima remaja perempuan bawah umur bakal dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu pada Rabu ini, atas pertuduhan mengugut melalui komunikasi berkaitan kes buli membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar, berkata semua tertuduh yang berusia bawah 18 tahun akan dituduh mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan (pindaan 2025).

“Pertuduhan ini melibatkan kesalahan ugutan melalui komunikasi. Ia termasuk penggunaan kata-kata atau mesej yang bersifat menghina atau mencela, sehingga boleh menyebabkan gangguan, tekanan emosi, ketakutan atau kebimbangan kepada individu lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh berdepan hukuman penjara sehingga setahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mendakwa beberapa suspek selepas meneliti kertas siasatan yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Mohd. Dusuki, pendakwaan itu dibuat berdasarkan keterangan yang mencukupi dan tidak akan menjejaskan prosiding inkues yang akan dijalankan berhubung kematian Zara Qairina.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Koroner menetapkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina bermula 3 September depan.

Koroner Azreena Aziz menetapkan tarikh perbicaraan pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.

Inkues itu akan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fairus Johari dari AGC Putrajaya, dengan dibantu tiga TPR dari AGC Sabah.

BBerkaitan

Latest articles