KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan bahawa lebih 3,000 kes jangkitan baharu HIV direkodkan sepanjang tahun 2024, dengan majoriti membabitkan golongan belia berusia antara 20 hingga 39 tahun.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 3,185 kes HIV baharu dilaporkan tahun lalu, dengan kadar notifikasi 9.4 bagi setiap 100,000 penduduk.
“Golongan belia menyumbang 75 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Ini menunjukkan satu trend yang membimbangkan, terutama jika dibandingkan dengan 35 tahun lalu,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen semalam.
Jawapan itu adalah sebagai respons kepada soalan Tan Kok Wai (PH–Cheras) yang meminta penjelasan mengenai situasi semasa jangkitan HIV di Malaysia, termasuk statistik mengikut umur, jantina dan punca utama jangkitan.
Menurut Dr Dzulkefly, landskap punca jangkitan HIV telah berubah ketara sejak beberapa dekad lalu.
Jika sebelum ini majoriti kes berpunca daripada perkongsian jarum suntikan dadah, kini sebanyak 96 peratus jangkitan berlaku melalui hubungan seksual.
Daripada jumlah itu 64 peratus berlaku melalui hubungan homoseksual/biseksual dan 32 peratus melalui hubungan heteroseksual.
“Ini menunjukkan peralihan ketara dalam trend jangkitan berbanding era 1990-an,” tambahnya.
Daripada keseluruhan kes pada 2024, 90 peratus adalah lelaki dan hanya 10 peratus wanita.
Ini berbeza dengan trend awal 1990-an, di mana lelaki mewakili 99 peratus kes dan wanita hanya 1 peratus.
Dr Dzulkefly turut mendedahkan bahawa walaupun kadar jangkitan HIV menurun sejak awal 2000-an, kadar penurunan kini semakin perlahan.
“Antara tahun 2000 hingga 2009, jangkitan HIV menurun sebanyak 50 peratus, namun dari 2010 hingga kini, kadar penurunan hanyalah sekitar 27 peratus,” katanya.
KKM sedang giat memperkukuh inisiatif pencegahan dan pendidikan, terutamanya dalam kalangan belia, bagi mengekang penularan virus HIV di Malaysia.