3,000 Pek Makanan Diagih, Peniaga Kecil Terima Reruai Percuma di Karnival Warisan @ Saloma

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,000 pek makanan diagihkan kepada golongan yang memerlukan menerusi program “Rahmat Ramadan: Santunan Ihsan” yang diadakan di Karnival Warisan @ Saloma Ramadan Raya, hari ini.

Inisiatif itu menyaksikan pengagihan 1,000 pek Nasi Arab, 1,000 bubur lambuk, dan 1,000 kampit beras dengan kerjasama beberapa pertubuhan amal, termasuk Yayasan Insan Sakan, Yayasan Muhibah, Yayasan Global Mesra, serta Saloma Kuala Lumpur yang menaja penyediaan Nasi Arab.

Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Dato’ Hj Che Umar, berkata program itu bukan sahaja bertujuan menyantuni mereka yang kurang berkemampuan, malah sebagai platform untuk mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan semangat memberi perlu dipupuk. Dengan adanya program ini, kami berharap lebih ramai dapat merasai kegembiraan berbuka puasa dalam suasana harmoni,” katanya ketika ditemui media.

Bantu Peniaga Kecil di Bazaar Jalan Tuanku Abdul Rahman

Dalam usaha membantu peniaga kecil yang terkesan akibat kekurangan pengunjung, pihak penganjur turut menyediakan reruai percuma kepada usahawan tempatan.

Reruai percuma itu diberikan pada 15 dan 16 Mac, khususnya kepada peniaga di Bazaar Jalan Tuanku Abdul Rahman, bagi membantu mereka meningkatkan jualan menjelang musim perayaan.

“Ramai peniaga di bazar Ramadan mengalami kejatuhan jualan, jadi kami mengambil inisiatif menyediakan ruang niaga percuma supaya mereka dapat terus berniaga dalam suasana lebih meriah,” kata Riza.

Karnival Selama Sebulan, Pelbagai Aktiviti Disediakan

Karnival Warisan @ Saloma Ramadan Raya berlangsung selama sebulan penuh, dengan pelbagai aktiviti disediakan untuk pengunjung.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tourism Malaysia, MaTiC, dan KEMAS, serta beberapa agensi berkaitan.

Orang ramai digalakkan untuk mengunjungi karnival itu dan menikmati kemeriahan Ramadan sambil menyokong peniaga tempatan.

BBerkaitan

Latest articles