KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2025 – Mahkamah Sesyen Jenayah di sini hari ini membebaskan dan melepaskan dua pegawai dan seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada tuduhan merompak hampir RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan warga China di sebuah residensi mewah pada Disember 2021.
Hakim Izralizam Sanusi dalam keputusannya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh, iaitu Muhamad Haffiz Mohd Radzi, Mohd Fahmee Mohamad Nor dan Azwan Asli.
Beliau menjelaskan bahawa elemen utama dalam pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, khususnya berkaitan unsur ketakutan terhadap keganasan sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 390 dan 397, tidak berjaya dibuktikan.
“Menurut keterangan mangsa (SP1), beliau menyatakan tidak berasa takut ketika kejadian, walaupun tiga individu memasuki rumahnya dan memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM yang sedang menyiasat kes pengubahan wang haram.
“Malah semasa pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula, mangsa konsisten menyatakan beliau tidak pernah berasa terancam secara fizikal mahupun psikologi,” katanya.
Mahkamah turut mengambil kira bahawa tiada bukti kukuh menunjukkan wujudnya ancaman fizikal atau penggunaan senjata api oleh tertuduh, selain daripada andaian mangsa mengenai kemungkinan terdapat pistol di dalam beg milik salah seorang individu terbabit.
“Berdasarkan keterangan dan fakta yang dikemukakan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen rompakan secara menyeluruh seperti yang dikehendaki undang-undang.
“Oleh itu, mahkamah memutuskan tiada kes prima facie dan ketiga-tiga tertuduh dilepas serta dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan agar wang jaminan serta semua barang kes yang dirampas dikembalikan kepada pemilik asal selepas tamat tempoh rayuan, jika ada.
Sementara itu, bercakap kepada media di luar mahkamah, Peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata jelas daripada penghakiman yang dibacakan oleh Yang Arif Hakim tadi menunjukkan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen utama bagi pertuduhan rompakan.
“Malah, elemen pertama dalam kes ini pun gagal dibuktikan. Ini secara langsung menunjukkan bahawa ketiga-tiga tertuduh sebenarnya sedang menjalankan tugas rasmi sebagai pegawai SPRM pada hari kejadian.
“Mereka hadir ke lokasi berkenaan untuk menjalankan siasatan berdasarkan maklumat yang diterima berkaitan aktiviti pengubahan wang haram oleh pengadu dalam kes ini. Pegawai-pegawai ini juga telah memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai SPRM dan menyatakan bahawa kehadiran mereka adalah untuk tujuan siasatan.”
Yang Arif Hakim telah menerima fakta ini dan menjadikannya sebagai dapatan fakta (finding of facts) dalam keputusan beliau. Maka dengan itu, ketiga-tiga tertuduh telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.
“Saya ingin tegaskan bahawa laporan polis yang dibuat oleh pengadu adalah satu cubaan untuk mengalih perhatian dan menggagalkan siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM terhadap dirinya. Malangnya, usaha tersebut telah berjaya apabila ketiga-tiga pegawai ini didakwa di mahkamah.
“Namun hari ini, keputusan mahkamah telah membuktikan bahawa kehadiran ketiga-tiga pegawai SPRM itu adalah sah dan atas kapasiti rasmi mereka menjalankan tugas. Justeru itu, mereka amat bersyukur atas keputusan pembebasan yang dibuat oleh mahkamah hari ini,” katanya.
Untuk rekod, mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta milik Kun Gao melibatkan wang tunai RM952,690; Yuan 1,225; sebuah bagasi perak; dan sebuah beg jenama Louis Vuitton berwarna hitam, di sebuah kediaman di Jalan Ampang kira-kira jam 12 tengah hari pada 10 Disember 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Dalam kes ini, pihak pendakwaan memanggil seramai 17 orang saksi.
Ketiga-tiga tertuduh — Muhamad Haffiz Mohd Radzi, 33; Mohd Fahmee Mohamad Nor, 41; dan Azwan Asli, 38 — sebelum ini mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan pada 13 Disember 2023.
Azwan Asli dan Mohd Fahmee diwakili Peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad, manakala Muhamad Haffiz Mohd Radzi diwakili Peguam Azizzul Shariman Mat Yusof. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin