22 Ahli GISBH Bebas Hari Ini Selepas 13 Bulan Jalani Hukuman Penjara

SHAH ALAM: Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali bersama 12 pemimpin tertinggi kumpulan itu dijatuhi hukuman penjara 15 bulan, manakala sembilan ahli wanita didenda RM4,500 setiap seorang selepas mengaku bersalah menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, semua 22 tertuduh kini bebas selepas telah menjalani hukuman penjara selama 13 bulan 10 hari sejak ditahan antara 25 September dan 12 Oktober tahun lalu, manakala sembilan wanita berkenaan membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, yang mengambil kira faktor pengakuan bersalah, tempoh tahanan reman panjang, serta keinsafan para tertuduh.

Menurut beliau, semua lelaki terbabit direman lebih 13 bulan manakala wanita direman enam bulan sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Hakim turut membenarkan permohonan pembelaan agar 22 unit telefon bimbit milik tertuduh yang tidak lagi menjadi bahan bukti dikembalikan secara pentadbiran.

Nasiruddin, 66, isterinya Azura Md Yusof, 58, serta anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 33, antara yang mengaku bersalah dalam prosiding yang dijalankan di Kompleks Penjara Kajang.

Mereka bersama 19 ahli lain mengaku melakukan kesalahan itu di Jalan Desa, Bandar Country Homes, Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Sebelum ini, kesemua mereka berdepan pertuduhan lebih berat di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, namun pertuduhan itu digugurkan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi mereka pada 30 Oktober lalu.

Mahkamah akhirnya menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM5,000.

BBerkaitan

Latest articles