20 Tan Sampah Ditinggalkan Peserta Himpunan ‘Turun Anwar’, Pasukan Pembersihan Bekerja Hingga 3 Pagi

KUALA LUMPUR: Penganjuran Himpunan Turun Anwar di sekitar ibu negara pada Sabtu lalu bukan sahaja mencetuskan polemik politik, malah turut meninggalkan kesan besar dari segi kebersihan awam apabila 20 tan sampah ditemui berselerak di lokasi perhimpunan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mendedahkan bahawa pasukan pembersihan terpaksa bekerja sehingga jam 3 pagi bagi membersihkan kawasan-kawasan yang terlibat, termasuk sekitar Dataran Merdeka.

“Saya telah arahkan seluruh pasukan dari SWCorp dan Alam Flora untuk segera turun padang membersihkan kawasan terlibat. Mereka bekerja hingga larut malam demi memastikan kawasan pelancongan ini tidak terus dicemari,” katanya kepada media selepas merasmikan Taman Rekreasi MADANI Canning Garden, hari ini.

Kor Ming melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir peserta yang tidak mengendahkan tanggungjawab menjaga kebersihan, sebaliknya meninggalkan sampah sarap merata-rata.

“Penganjur himpunan sepatutnya memastikan lokasi perhimpunan dikekalkan bersih, bukan hanya aman. Ini soal tanggungjawab sivik dan imej negara,” ujarnya.

Menurutnya lagi, meskipun kerja-kerja pembersihan berjaya diselesaikan, insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi di kawasan ikonik dan tumpuan pelancong antarabangsa seperti Dataran Merdeka.

“Kita tidak boleh kompromi dalam soal kebersihan. Ini bukan hanya mencemarkan pemandangan, tetapi juga memberi persepsi negatif terhadap pengurusan acara awam,” tegas beliau.

Pihak polis menganggarkan kira-kira 18,000 orang menyertai perhimpunan anjuran pembangkang itu, yang bertujuan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.

Dalam perkembangan lain, Kor Ming menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kuala Lumpur Kepong (KLK) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam usaha memelihara tujuh Taman Rekreasi MADANI di sekitar bandaraya itu untuk tempoh dua tahun.

MoU itu dimeterai oleh Pengerusi Eksekutif KLK, Tan Sri Lee Oi Hian dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.

Tujuh taman rekreasi yang terlibat termasuk Woodland Park 1 & 2, Jalan Permai–Jalan Edward Moreira, Bandar Baru Putra, Westpool Park, Pengkalan Barat dan First Garden.

“Inisiatif seperti ini membuktikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) boleh menyumbang kepada pembangunan bandar yang bersih, hijau dan selamat,” ujar Kor Ming.

BBerkaitan

Latest articles