KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan dalam perbicaraan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini membangkitkan kebimbangan serius mengenai keadilan prosiding, susulan pendedahan berhubung kedudukan Roger Ng Chong Hwa yang didakwa telah memberikan maklumat material kepada pihak berkuasa Malaysia di luar mahkamah, namun enggan menjawab soalan-soalan tertentu ketika memberi keterangan di mahkamah terbuka.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan firma guaman Shafee & Co, Roger Ng telah dibawa pulang ke Malaysia pada Oktober 2023 selepas disabitkan kesalahan di Amerika Syarikat dan dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun, dengan tujuan membantu pihak berkuasa Malaysia serta menghadapi siasatan berkaitan peranannya dalam skandal 1MDB.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa sejak kepulangan beliau ke Malaysia, beberapa pertuduhan terhadap Roger Ng di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan telah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA), manakala kes-kes lain tidak diteruskan secara aktif, selain beliau turut ditempatkan di bawah Program Perlindungan Saksi.
Firma guaman berkenaan turut merujuk kepada kenyataan media terkini Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menggunakan kepala surat bersama Pejabat Perdana Menteri (PMO), yang menyatakan bahawa sejak 2023, terdapat maklumat baharu ditemui selepas Roger Ng dibincangkan dan disabitkan kesalahan di Amerika Syarikat sebelum dikembalikan kepada pihak penyiasat Malaysia.
Bagaimanapun, menurut pembelaan, ketika dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan 1MDB, Roger Ng enggan menjawab beberapa soalan material dengan alasan terikat kepada satu perintah perlindungan (protective order) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Timur New York, walaupun mahkamah Malaysia telah menyatakan bahawa ia tidak terikat dengan keputusan kehakiman asing.
Shafee & Co turut merujuk kepada sepucuk surat bertarikh 12 Mac 2021 daripada firma guaman Brafman & Associates kepada Hakim Daerah Amerika Syarikat, Margo K. Brodie, yang antara lain mendakwa kerajaan Amerika Syarikat telah menahan bahan penzahiran (discovery) yang bersifat membebaskan, termasuk maklumat yang diperoleh daripada Goldman Sachs.
Menurut kenyataan itu, Roger Ng sebagai saksi pembelaan tidak mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan sebarang konspirasi berkaitan 1MDB, malah secara nyata menafikan penglibatan bekas Perdana Menteri itu, walaupun beliau mengakui bekerjasama rapat dengan Tim Leissner dan Goldman Sachs, yang didakwa sebagai arkitek kewangan utama bersama Low Taek Jho atau Jho Low.
Pembelaan turut menyatakan bahawa walaupun Roger Ng enggan memberikan keterangan penuh di mahkamah terbuka atas alasan perintah perlindungan dari Amerika Syarikat, beliau didakwa telah memberikan kenyataan panjang lebar kepada pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial selepas kembali ke Malaysia, yang sepatutnya merangkumi maklumat bersifat membebaskan.
Dalam kenyataan sama, firma guaman itu membandingkan layanan terhadap Roger Ng dengan beberapa individu utama lain, termasuk Jasmine Loo Ai Swan, yang disifatkan memainkan peranan penting dalam transaksi berkaitan 1MDB namun tidak didakwa dan kini berada di bawah Program Perlindungan Saksi, manakala Jho Low pula masih belum dibawa pulang ke Malaysia untuk dibicarakan.
Menurut Shafee & Co, keadaan ini menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan, kesaksamaan dan integriti proses pencarian fakta dalam perbicaraan 1MDB, dan didakwa telah menafikan hak anak guam mereka kepada perbicaraan yang adil sebagaimana dijamin di bawah Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.










